YAB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar merupakan Presiden Kolej Al-Quran Terengganu yang pertama yang diisytiharkan pelantikannya dalam majlis gilang-gemilang, iaitu Majlis Pengisytiharan Presiden dan Imaratul Ilmi Kolej Al-Quran Terengganu pada 14 Disember.YAB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar merupakan Menteri Besar Terengganu ke-15 yang dilantik oleh KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 10 Mei 2018. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh dan menyambung persekolahan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Terengganu.Dengan keputusan cemerlang yang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia telah melayakkan beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik dan Bahan. Pada tahun 1995, beliau telah menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di Univeristy of Leeds, United Kingdom dan telah berjaya memperoleh Masters of Science in Combustion and Energy dari universiti tersebut pada tahun 1996.Beliau sempat berkhidmat selama 3 bulan sebagai kakitangan akademik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sebelum dihantar untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Univeristy of Leeds, United Kingdom. Beliau berjaya memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion : High Altitude Engine Failure dari School of Mechanical Engineering pada tahun 2001. Pencapaian yang dirangkul oleh beliau secara tidak langsung telah meletakkan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu pertama yang mempunyai kelulusan ijazah di peringkat Doktor Falsafah (PhD).Setelah kembali ke tanah air, beliau menyambung perkhidmatan bersama Universiti Putra Malaysia sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan bermula tahun 2001 hingga 2008. Penglibatan yang aktif dalam bidang pendidikan dan penyelidikan ilmiah, membolehkan beliau diberikan gelaran Profesor Madya di Universiti Putra Malaysia dari tahun 2006-2008 dan Professor in Practice di Universiti Selangor Darul Ehsan (UNISEL).Sebagai seorang yang mempunyai kelulusan dan kepakaran dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion: High Altitude Engine Failure telah banyak membuka peluang kepada beliau menjadi seorang yang aktif dalam khidmat kebajikan dan kemasyarakatan khususnya dalam bidang aeroangkasa. Beliau pernah menjadi penganalisis bagi tragedi MH370 & MH17, Penasihat Jawatankuasa Bidang Strategik (Aeroangkasa) Kementerian Pengajian Tinggi, Penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Februari 2007 Januari 2009), Pengerusi Jemaah Dekan Program Aeroangkasa, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Ketua Delegasi Teknikal IPTA Malaysia, Jawatankuasa Kebangsaan Panel Program Aeroangkasa ke China (China National Space Agency) - Korea (Korean Space Agency) - Jepun (Japan Space and Exploration Agency), mewakili Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia ke Persidangan National Aeronautics and Astronautics (NASA) International Conference, Washington 2006, Panel Pakar Akreditasi, Lembaga Akreditasi Negara (LAN) untuk Bidang Kejuruteraan Aeroangkasa Malaysia 2005-2007.Selain itu, beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Kemahiran (JPPK) Aeroangkasa, Persijilan Kemahiran Malaysia Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan, Kementerian Sumber Manusia 2005 2008, Ahli Jawatankuasa Teknikal Halatuju Program Aeroangkasa Malaysia, Jabatan Pengurusan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia 2005, Ahli Kumpulan Kerja Aeroangkasa untuk Pelan Tindakan Blueprint Industri Pertahanan Negara Malaysia 2005, Ahli Jawatankuasa Kecil Kumpulan Teknologi Angkasa bagi Anugerah Angkasa, Agensi Angkasa Negara 2004 dan Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Panel Program Aeroangkasa Tahun 2002.Di samping itu, sepanjang dalam tempoh perkhidmatan sebagai penjawat awam, beliau telah meraih beberapa kejayaan, antaranya ialah Anugerah Pencapaian Khas dari Federal Agency for Industry (ROSPROM), Russian Federation: 54th World Exhibition of Innovation. Research and New Technologies Brussels (2005), Pingat Emas 54th World Exhibition of Innovation. Research and New Technologies Brussels (2005), Anugerah Khidmat Cemerlang, Universiti Putra Malaysia (UPM) berturut-turut dari tahun 2003, 2004 dan 2005 dan Anugerah Penyelidik Cemerlang Universiti Putra Malaysia tahun 2005.Dengan berbekalkan ilmu yang ada serta pengalaman yang dilalui, semoga YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar akan terus membantu dan membimbing KQT bagi mengorak langkah mendidik dan melahirkan ummah cemerlang agar dapat membentuk pemimpin unggul dalam bidang yang berteraskan Al-Quran untuk menerajui tampuk kepimpinan pada masa akan datang.