KELANTAN CORPORATE-EDU LINK (2/2025)

13 Ogos 2025 – Program Kelantan Corporate-Edu Link (2/2025) anjuran Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) telah berlangsung dengan jayanya hari ini bertempat di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), bermula pada jam 9.30 pagi.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif libat urus strategik antara KQT dan pihak sekolah, khususnya bersama guru bimbingan dan kaunseling peringkat negeri Kelantan. Sesi ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan kefahaman terhadap peluang pendidikan yang ditawarkan oleh KQT dalam bidang pengajian al-Quran.
Majlis dimulakan dengan sesi libat urus yang disampaikan oleh Cik Nuratiqah binti Rusdi, Penolong Pendaftar Bahagian Korporat dan Promosi KQT. Dalam sesi tersebut, beliau mengetengahkan hala tuju pendidikan di KQT, peluang pengajian, serta peranan guru kaunseling sebagai ejen penyampaian maklumat kepada pelajar sekolah menengah tentang program pengajian yang ditawarkan di KQT.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Encik Zahari bin Yusoff, Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid (Kaunseling dan Kerjaya Murid), Sektor Pembangunan Murid JPN Kelantan. Dalam ucapan penutupnya, beliau menyatakan penghargaan kepada KQT atas usaha mendekati warga sekolah dan berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan.
Program berakhir dengan sesi bergambar kenangan antara para peserta dan pihak penganjur.

Buletin KQT