Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej Al-Quran Terengganu dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau telah diadakan pada 27/10/2022 dan disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.
Salah satu hasrat utama kerajaan negeri adalah untuk mewujudkan semula institusi pengajian tinggi Islam milik kerajaan negeri atau sebagai ganti Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri Terengganu suatu ketika dahulu.
Pembinaan kampus tetap KQT merupakan suatu kepentingan bagi menampung pertambahan jumlah pelajar seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk menaiktaraf KQT menjadi Kolej Universiti menjelang tahun 2025 nanti.
Di samping itu juga, KQT merupakan sebahagian daripada komponen utama yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keseluruhan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau.
Semoga KQT mampu menjadi sebuah institusi pendidikan Islam yang terunggul di Terengganu yang mampu melahirkan lebih ramai cendekiawan demi kemaslahatan masyarakat di Malaysia khususnya dan di peringkat global amnya.