Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) telah berlangsung pada 10 Februari 2026 (Selasa) bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Bangunan Canselori Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak (TSUAAR), UniSHAMS, Kuala Ketil, Kedah.
Majlis ini diadakan bertujuan untuk menjalinkan kerjasama akademik menerusi penawaran program Ijazah Sarjana Muda secara francais di KQT dengan kerjasama UniSHAMS, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pembangunan program pengajian, pengukuhan kurikulum serta peluasan akses pendidikan tinggi berteraskan al-Quran dan pengajian Islam.
Melalui perjanjian ini, KQT dan UniSHAMS bersepakat untuk memperkasa kolaborasi strategik dalam aspek pelaksanaan program akademik, penyelarasan standard kualiti pengajian serta perkongsian kepakaran demi melahirkan graduan yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Majlis pertukaran dokumen MoA diwakili oleh Prof. Madya Dr. Wan Mat bin Sulaiman, Ketua Eksekutif Kolej Al-Quran Terengganu (KQT). Manakala pihak UniSHAMS pula diwakili oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohd Amy Azhar bin Dato’ Haji Mohd Harif, Naib Canselor UniSHAMS.
Kerjasama strategik ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan institusi yang lebih erat dan berimpak tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam yang progresif dan lestari di peringkat nasional.