Taklimat Bijak Digital Elak Scammer

Rabu, 3 September 2025 – Satu program Taklimat Bijak Digital: Elak Scammer telah berjaya dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Quran Tunjung (KQT) dengan kerjasama Bahagian Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada petang tadi.
Bertempat di Dewan Ibnu Mas’ud, KQT, program berlangsung dari jam 2.00 hingga 4.00 petang, melibatkan penyertaan semua pelajar KQT. Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap jenayah penipuan siber yang semakin berleluasa dalam era digital masa kini.
Taklimat yang disampaikan oleh pegawai dari PDRM Bahagian Komersial memberi pendedahan mendalam mengenai pelbagai taktik yang digunakan oleh scammer termasuk penipuan telefon, pelaburan palsu, serta penipuan dalam talian melalui laman sosial dan aplikasi pesanan segera.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan kaedah melindungi maklumat peribadi, mengenali amaran awal penipuan, serta langkah-langkah bijak yang boleh diambil sekiranya menjadi mangsa scam. Sesi perkongsian turut diserikan dengan kisah benar yang pernah ditangani oleh pihak polis, memberi kesan mendalam kepada para pelajar tentang pentingnya kewaspadaan dalam dunia digital.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas kerjasama dan komitmen mereka dalam menjayakan program yang sangat bermakna ini.

Buletin KQT