Majlis Serahan Dana Zakat Program Iqra’ TH IPTN

Kolej Al-Quran Terengganu, 19 Mac 2025 –Majlis Serahan Dana Zakat Program Iqra’ TH IPTN berjumlah RM128,750.00 oleh Tabung Haji Negeri Terengganu telah dilaksanakan bagi membantu meringankan beban pelajar golongan B40 dan asnaf. Serahan dana kali pertama ini diadakan di Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dengan kehadiran para wakil Lembaga Tabung Haji, iaitu Tuan Haji Khairoddin Ahmad (Pengarah TH Wilayah Timur), Tuan Haji Nizan Johar Abdul Wahab (Pengarah TH Negeri Terengganu), Encik Ahmad Lutfi Mohd Safuan (Ketua Pemasaran Tabung Haji Negeri Terengganu) dan Wan Mohd Saufee Wan Jaafar.

Majlis ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan KQT dan pegawai-pegawai iaitu,  Encik Saidi bin Salleh @ Sulong selaku Timbalan Ketua Eksekutif (Pembangunan & Pengkorporatan), Encik Abu Hassan Basori bin Abdullah (Dekan Pusat Pengajian Al-Quran dan Kesejagatan Islam) merangkap yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Eksekutif (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Encik Syed Mohammad Fahmi bin Syed Hussin selaku Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Cik Nuratiqah binti Rusdi sebagai Penolong Pendaftar (Korporat & Promosi).

Seramai 60 orang pelajar KQT yang terdiri daripada kategori B40 dan asnaf telah menerima sumbangan dana zakat melalui program TH Iqra’ IPTN. Dana ini bertujuan membantu mereka yang memerlukan, sekaligus memastikan tiada pelajar yang tercicir dari meneruskan pengajian dalam bidang pengajian Islam berteraskan al-Quran di KQT.

Menerusi ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Wan Mat bin Sulaiman (Ketua Eksekutif Kolej Al-Quran Terengganu), beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Lembaga Tabung Haji atas sokongan yang diberikan. Seterusnya ucapan daripada Tuan Haji Khairoddin Ahmad (Pengarah TH Wilayah Timur) menekankan komitmen Lembaga Tabung Haji dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program-program seperti TH Iqra’, Dalam ucapannya, beliau turut berharap agar sumbangan ini juga membuka peluang kerjasama di antara Kolej Al-Quran Terengganu dan pihak Lembaga Tabung Haji pada masa akan datang.

Kolej Al-Quran Terengganu sekali lagi merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Lembaga Tabung Haji atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan dalam memastikan program pendidikan berteraskan ilmu al-Quran dapat dijayakan dengan lancar. Semoga kerjasama ini terus berkembang bagi memberikan manfaat yang lebih besar kepada para pelajar dan kedua-dua agensi di masa hadapan.

Buletin KQT