Selasa, 22 April 2025 – Seramai 70 orang pelajar KQT daripada kategori B40 menerima sumbangan berjumlah RM70,350 menerusi Program Dapo Maidam@IPT, dalam satu majlis penyerahan rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama KQT.
Majlis Serahan Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam membantu kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Program Dapo Maidam@IPT ini menyalurkan bantuan dalam bentuk pek makanan asas dan bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup pelajar dan menyokong kelangsungan pengajian mereka.
Wakil rasmi MAIDAM yang hadir dalam majlis ini Encik Wan Muhammad Khairullah Suhaimi bin Wan Azli – Penolong Setiausaha (Pembangunan Wakaf MAIDAM) dan Encik Abdul Fattah bin Mamat
Pegawai Hal Ehwal Islam (Pembangunan Wakaf MAIDAM) menyatakan bahawa sumbangan ini adalah manifestasi keprihatinan agensi terhadap keperluan pelajar yang terkesan, khususnya mereka yang tidak menerima bantuan tetap daripada mana-mana pihak.
Majlis ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan KQT dan pegawai-pegawai iaitu, Prof. Madya Dr. Haji Wan Mat bin Haji Sulaiman (Ketua Eksekutif Kolej Al-Quran Terengganu) Encik Saidi bin Salleh @ Sulong selaku Timbalan Ketua Eksekutif (Pembangunan & Pengkorporatan), Encik Abu Hassan Basori bin Abdullah (Dekan Pusat Pengajian Al-Quran dan Kesejagatan Islam) merangkap yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Eksekutif (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Encik Syed Mohammad Fahmi bin Syed Hussin selaku Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Pihak kolej merakamkan penghargaan kepada MAIDAM atas inisiatif murni tersebut, dan menyifatkannya sebagai satu bentuk suntikan semangat buat para pelajar, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar.