BENGKEL PELAN STRATEGIK KQT : GARIS HALA TUJU, TINDAKAN DAN KEBERHASILAN

10 Ogos 2025 – Bengkel Pelan Strategik Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) : Garis Hala Tuju, Tindakan dan Keberhasilan telah berlangsung pada hari ini, bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Orchid Room, Aras 11, Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Haji Ahmad Shah bin Muhamed, Pengerusi Lembaga Pengelola KQT, yang turut menyampaikan amanat penting menyentuh peranan signifikan KQT dalam lanskap pembangunan negeri Terengganu.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Kolej Al-Quran Terengganu merupakan komponen utama dalam ekosistem pentadbiran negeri yang berperanan sebagai Institusi pengkaderan ilmuan Islam dan huffaz negeri pusat latihan modal insan Quranik, penyumbang kepada dasar “Islam Memimpin”, platform dakwah, pendidikan dan kebajikan sosial negeri, pelaksana dasar-dasar pembangunan insan yang memberi kesan langsung kepada masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa selaras dengan Pelan Strategik Terengganu Sejahtera, KQT memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan pendidikan berteraskan syariah, melestarikan warisan ilmu, dan membentuk masyarakat madani. Keunikan program seperti Tahfiz, Qiraat dan Kaligrafi, serta penekanan terhadap akhlak, disiplin dan nilai-nilai Islam, menjadi keistimewaan yang membezakan KQT daripada institusi pendidikan Islam lain di negara ini.
Bengkel ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi KQT, termasuk Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Nor Shokri bin Abd Rahman (Ahli Lembaga Pengelola KQT), Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Wan Mat bin Sulaiman (Ketua Eksekutif KQT), Timbalan-timbalan Ketua Eksekutif, Pendaftar, Pengarah Institut Al-Quran, Pegawai Kewangan dan Penolong-penolong Pendaftar.
Bengkel ini bertujuan merangka hala tuju strategik yang holistik, mengenalpasti tindakan utama serta indikator keberhasilan dalam memperkukuh peranan dan sumbangan KQT terhadap pembangunan pendidikan Islam negeri dan negara.

Buletin KQT