KONVOI MERDEKA KQT 2025

Rabu, 27 Ogos 2025 | Kuala Terengganu – Dalam usaha memperkukuh semangat patriotisme dan merapatkan hubungan strategik bersama institusi madrasah, Kolej Quran Terengganu (KQT) telah menganjurkan Konvoi Merdeka KQT 2025 dengan jayanya hari ini.
Konvoi melibatkan 46 buah motosikal, terdiri daripada kakitangan dan pelajar KQT, serta 10 orang penunggang jemputan daripada Relex Bikers. Konvoi dimulakan secara rasmi dengan ucapan daripada Ketua Eksekutif KQT dan laungan simbolik merdeka yang diketuai oleh Ketua Eksekutif menandakan pelepasan sesi konvoi Merdeka KQT 2025.
Turut bersama-sama dalam konvoi ini adalah iringan (route clearence / lead car), PDRM dan pasukan perubatan daripada JPAM demi memastikan kelancaran dan keselamatan perjalanan.
Empat buah madrasah utama di sekitar Terengganu menjadi lokasi persinggahan (checkpoint):
1) Maahad Tahfiz Asy-Syatibi (Checkpoint 1)
2) Madrasatul Quran Kubang Bujuk (Checkpoint)
3) Madrasatul Addiniyah Islamiyyah (Checkpoint 3)
4) Maahad Darul Quran Rusila, Masjid Kampung Rusila (Checkpoint 4)
Konvoi ini bukan sekadar jelajah bermotosikal, sebaliknya membawa misi penting sebagai platform promosi langsung KQT kepada para pelajar madrasah, sambil menyampaikan mesej perpaduan, dakwah, kebajikan dan semangat kenegaraan melalui pendekatan santai namun bermakna.
Antara momen paling bermakna dalam program ini ialah simbolik serahan sumbangan dan pengibaran Jalur Gemilang sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang di setiap checkpoint. Tuan Haji Saidi telah mengetuai penyerahan di checkpoint 1 hingga checkpoint 3, manakala penyampaian terakhir di checkpoint 4 disempurnakan oleh Ketua Eksekutif KQT, Prof. Madya Dr. Haji Wan Mat bin Sulaiman.
Program ini memberi fokus kepada objektif mempromosikan KQT secara langsung kepada pelajar madrasah berpotensi, memperkukuh hubungan strategik antara KQT dan madrasah sekitar sebagai rakan kolaborasi pendidikan, menyampaikan sumbangan kebajikan serta simbolik ukhuwah dan solidariti daripada warga KQT kepada madrasah dan Menyemai semangat patriotik melalui pengibaran Jalur Gemilang secara simbolik dalam kalangan pelajar dan komuniti madrasah.
Kehadiran konvoi ini disambut meriah oleh pihak madrasah yang terlibat, yang menyambut baik inisiatif mendekati mereka melalui pendekatan mesra dan berhemah.
Konvoi Merdeka KQT 2025 bukan sahaja menzahirkan rasa cinta kepada tanah air, tetapi turut mengangkat nilai-nilai dakwah, kebajikan dan silaturrahim yang menjadi tunjang kepada pendidikan Islam yang inklusif dan progresif.

Buletin KQT