JUMAAT, 8 Mei 2026 – Majlis Penganugerahan dan Penghargaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Al-Quran Terengganu telah berlangsung di Dewan Sumai Jasa, Sumai Hotel Apartment Kuala Terenganu bagi meraikan barisan kepimpinan pelajar sesi 2025/2026 serta memperkenalkan kepimpinan baharu sesi 2026/2027.
Majlis ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada ahli MPP sesi sebelumnya atas jasa dan sumbangan mereka, selain menyerahkan watikah pelantikan kepada MPP baharu yang telah dipilih melalui proses pemilihan pilihan raya kampus.
Majlis telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif KQT, YBhg. Prof. Madya Dr. Haji Wan Mat bin Sulaiman yang turut menyampaikan amanat kepimpinan dan menyeru para pelajar agar sentiasa memberi komitmen dan disiplin dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.
Presiden MPP sesi 2026/2027, Saudara Afiq Muizzuddin bin Mohd Norapizal dalam ucapannya turut menzahirkan komitmen untuk membawa suara pelajar ke tahap yang lebih baik dalam membentuk budaya kampus yang lebih harmoni dan penuh semangat bekerjasama.
Majlis ini turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi KQT iaitu Encik Abu Hassan Basori bin Abdullah (Dekan Pusat Pengajian Al-Quran dan Kesejagatan Islam) merangkap yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Eksekutif (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Encik Abdul Hadi bin Harun (Pendaftar), YM. Puan Syarifah Rahimah binti Tuan A.Rahman (Pengarah IQ) dan pegawai-pegawai KQT.
Seramai 12 orang pelajar telah menerima watikah pelantikan termasuk Presiden, Naib Presiden, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Biro. Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli MPP sesi 2025/2026.
Majlis ini diakhiri dengan makan malam dan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan pengorbanan para pemimpin pelajar dalam bersama-sama memacu KQT untuk terus bergerak maju ke depan.